KLIK BAH PLZ

Sunday 9 June 2013

PAS ARAHKAN SEMUA AHLI UNTUK HADIR BLACKOUT 1506 DI PADANG MERBOK...

KUALA LUMPUR: PAS hari ini mengerahkan ahlinya menyertai perhimpunan aman Black 505 bagi menolak penipuan serta menuntut reformasi pilihan raya yang akan diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur 15 Jun nanti.

Perkara tersebut dinyatakan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika ditemui di Ibu Pejabat Agung PAS selepas mesyuarat bulanan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Menurutnya, keputusan tersebut telah diputuskan di dalam mesyuarat pagi tadi.

"Kita hari ini membuat keputusan untuk mengerahkan ahli-ahli PAS bagi menyertai himpunan aman Black 505 yang akan di adakan pada 15 Jun nanti.

"Kita juga tidak mensasarkan berapa ramai ahli-ahli PAS yang akan hadir tetapi mengharapkan ia akan disertai oleh seberapa ramai yang mungkin sebagai tanda sokongan kita," jelasnya.

Mohamad yang menyatakan kenyataan rasmi dari Presiden PAS akan dikeluarkan melalui blog rasmi dan juga laman web Harakahdaily selepas ini.

"Kenyataan rasmi presiden akan kita keluarkan melalui laman rasmi PAS dan juga Harakahdaily dalam masa terdekat.

"Apa yang kita harapkan ahli-ahli PAS akan turut serta pada himpunan tersebut dan saya sendiri akan hadir pada 15 Jun nanti," sambung beliau.

Dalam pada itu, beliau yang mengulas mengenai kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang tidak membenarkan himpunan diadakan di Padang Merbok dengan menjelaskan perkara tersebut akan diputuskan Jawatankuasa Penganjur.

Dalam pada itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli akan mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR esok pada jam 11 pagi berhubung dengan himpunan aman Black 505.

SPR KANTOI MENIPU 3 KALI?

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dua kali mengubah keputusan penuh pilihan raya ke 13 apabila undi yang hilang sudah menjadi 52, 972 undi selepas diubahsuai (Corrigendum) pada 22 Mei 2013.

Sebelum diwartakan iaitu keputusan pada 5 Mei 2013 undi hilang adalah 65,286 undi manakala selepas warta pada 22 Mei 2013 adalag 53,045 undi.

Undi hilang adalah jumlah kertas undi yang tidak dimasukkan ke dalam tong undi selepas ia dikeluarkan kepada pengundi.

"Yang menghairankan saya bagaimana boleh keputusan pru13 berbeza dengan pengumuman pegawai pengurus pada hari pengundiaan 5 mei 2013," kata seorang pengundi yang membuat kajian terperinci mengenai perkara ini, Mohd Azlan Mohd Sharif.

Menurutnya, alasan tidak rasmi oleh SPR (yang diberitahu wartawan kanan kepada beliau) iaitu kerani tersalah masuk data atau salah kira akibat salah tekan kalkulator.

"Ia tidak masuk akal. Saya sedang menanti jawapan bertulis SPR berdasarkan surat saya pada 7 Jun 2013 lalu," kata Azlan dalam kenyataannya.

Bagi Azlan, membawa keluar kertas undi adalah satu jenayah seperti dinyatakan dalam Seksyen 3(1)(h) dan seksyen 6(2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Ia perlu digunakan bagi membuktikan dakwaan saya," katanya dan mendakwa SPR perlu bertanggungjawab apabila perkara berlaku.

Sehingga kini, tujuh laporan polis telah beliau lakukan bagi memudahkan pihak berkuasa menyiasat dan mendakwa sesiapa yang melakukan 'jenayah' ini.

Menurut analisa beliau juga, undi rosak juga sudah dua kali berubah.

Undi rosak (Bagi 727 kerusi)


1) Sebelum warta (Keputusan 5 Mei 2013) = 323,353 undi.

2) Selepas warta(22 Mei 2013) = 326,668 undi

3) Selepas Corrigendum (31 Mei 2013) = 326,707 undi

DAP SASARKAN PRU 14 TAWAN PUTRA JAYA..CAYALAH!!

KUALA LUMPUR: Pemimpin dan ahli DAP akan mula membuat persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-14 dengan dua matlamat – membuat perubahan di peringkat Persekutuan dan juga kerajaan negeri Sabah, kata Ketua anggota Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Katanya, matlamat Pakatan Rakyat di Sabah untuk memenangi sekurang-kurangnya sepertiga dari 26 kerusi parlimen di negeri ini tidak tercapai dalam pilihan raya lalu.

Sasaran ini dibuat bagi membolehkan PR mengumpul 33 kerusi parlimen dari tiga negeri “deposit tetap” Sabah, Sarawak, dan Johor, untuk membantu mencukupkan kerusi parlimen yang diperlukan untuk PR menawan Putrajaya.

Dalam pilihan raya yang lalu, Pakatan Rakyat hanya berjaya mendapatkan 14 kerusi Parlimen di ketiga-tiga negeri “deposit tetap” Sabah, Sarawak, dan Johor (Sabah 3, Sarawak 6, Johor 5).

Ia hanya 16.9% dari keseluruhan 83 kerusi parlimen yang dipertandingkan di ketiga-tiga negeri dan bukannya 33.3% seperti yang disasarkan.

Walaupun sasaran Pakatan Rakyat untuk mendapatkan 33 kerusi parlimen di negeri-negeri “deposit tetap” Sabah, Sarawak, dan Johor tidak tercapai, satu hakikat yang tidak dapat diabaikan berikutan keputusan PRU 13 itu ialah bahawa ketiga-tiga negeri Sabah, Sarawak, dan Johor tidak lagi boleh dianggap sebagai “deposit tetap” bagi Barisan Nasional.

Persaingan untuk memenangi hati dan minda rakyat Sabah, Sarawak dan Johor kini terbuka sepenuhnya untuk semua pihak, tambah Kit Siang yang menang di Gelang Patah, Johor.

Bagi Sabah, katanya, kehadiran pembangkang semakin jelas dalam Dewan Undangan Negeri Sabah setelah dua dekad tidak menyaksikan adanya pembangkang yang kuat di sana.

Kini DUN Sabah dianggotai oleh 11 Ahli Dewan Undangan Negeri daripada Pakatan Rakyat (4 DAP, 7 PKR) dan seorang daripada Star.

Bagaimanapun, katanya, pilihan raya umum pada 5 Mei lalu memberi pengajaran berharga kepada Pembangkang di Sabah, memandangkan Barisan Nasional dapat ditewaskan di empat kerusi parlimen dan lapan kerusi dewan undangan negeri jika tidak berlaku perpecahan undi untuk calon-calon Pembangkang.

Empat kerusi parlimen itu ialah P. 168 Kota Marudu, P. 180 Keningau, P. 181 Tenom dan P. 182 Pensiangan, manakala lapan kerusi DUN yang berkenaan ialah N.11 Kiulu, N.29 Kundasang, N. 31 Paginatan, N. 32 Tambunan, N. 34 Liawan, No. 35 Melalap, N.38 Nabawan dan N.45 Elopura.

Malah, jika Pembangkang bersatu ia mungkin boleh memenangi 11 kerusi Parlimen dan 26 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Kerusi Parlimen iaitu tiga yang telah dimenangi, ditambah dengan empat yang terlepas daripada genggaman kerana undi pecah, dan empat lagi kerusi, iaitu P. 177 Beaufort, P. 170 Tuaran, P. 179 Ranau dan P. 169 Kota Belud.

Kerusi DUN adalah 12 yang ada sekarang, ditambah dengan lapan yang terlepas kerana undi pecah dan enam lagi, iaitu N.2 Tanjong Kapor, N.30 Karanaan, N.36 Kemabong, N. 37 Sook, N. 44 Karamunting dan N.46 Tanjong Papat.

"Bagi PRU13 saya percaya lebih mudah untuk Pakatan Rakyat merebut Kerajaan Persekutuan di Putrajaya daripada memenangi Kerajaan Negeri Sabah," katanya.

Bagaimanapun, Pakatan Rakyat menghadapi cabaran yang amat berbeza untuk PRU14 kerana ia mempunyai dua objektif serangkai – untuk memenangi Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dan juga merebut Kerajaan Negeri Sabah.

"Atas sebab ini, saya ingin mengingatkan para pemimpin, ahli, dan penyokong DAP serta Pakatan Rakyat bahawa kita tidak mempunyai masa untuk berehat kerana kita harus segera memulakan kerja untuk mencapai matlamat yang gagal kita capai dalam PRU13, selain untuk memastikan yang kita berjaya membina asas yang kukuh untuk turut memenangi Kerajaan Negeri Sabah dalam PRU14," tegas Kit Siang.

Atas sebab ini juga, selain empat kerusi DUN yang telah DAP miliki, DAP Sabah akan segera memberikan tumpuan terhadap 13 kawasan untuk membantu Pakatan Rakyat mencapai kedua-dua matlamatnya dalam PRU14.

Kawasan-kawasan terbabit adalah Elopura, Karamunting, Tanjong Papat, Tanjong Aru, Karanaan, Paginatan, Tanjong Kapor, Melalap, Kemabong, Liaiwan, Sook, Tambunan dan Merotai.

Tambah Kit Siang, untuk membantu kempen DAP dan PR di Sabah bagi PRU14, Ahli-ahli Parlimen dan ADUN DAP di dalam dan luar Sabah digalakkan untuk mengambil salah satu dari 13 kawasan berkenaan sebagai kawasan angkat.

Jawatankuasa Negeri Sabah bersama-sama dengan Teresa Kok, penyelaras CEC bagi Sabah dan Sarawak, akan merangka perincian bagi program “kawasan angkat” ini yang akan membolehkan lebih daripada seorang wakil rakyat DAP untuk dilantik sebagai wakil rakyat angkat bagi setiap satu dari 13 kawasan terbabit.

"Sebagai langkah mula, saya akan mengambil peranaan sebagai DUN angkat memandangkan saya telah melawat Ranau untuk Pesta Kaamatan Kg Sarapong kelmarin," katanya.

LAGI TAHANAN MATI DI LOKAP POLIS

Seorang lelaki warga Jepun yang ditahan kerana menceroboh sebuah stor milik Sunway Group berdekatan sebuah universiti dekat sini, ditemui mati tergantung di dalam lokap di Balai Polis USJ 8 Subang Jaya awal hari ini.
  
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A.Thaiveegan berkata Nobuhiro Matsushita, 33, ditemui tergantung pada palang besi pintu lokap menggunakan bajunya kira-kira 4 pagi ini.
  
Beliau berkata laporan bedah siasat yang dikeluarkan Pusat Perubatan Universiti Malaya mendapati suspek mati akibat gantung diri dan tiada sebarang kecederaan atau luka pada anggota badannya.
  
"Siasatan awal polis juga mengesahkan tiada unsur jenayah yang mengakibatkan kematiannya," katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.
  
Beliau berkata pemeriksaan pengawal lokap sejam sebelum itu mendapati kesemua tahanan termasuk lelaki itu, berada dalam keadaan baik.

Thaiveegan berkata lelaki tersebut sebelum itu diletakkan di sel tahanan yang lain sebelum diasingkan kerana mengganggu tahanan yang lain.
  
Suspek pada 2 Jun lepas ditahan kerana membuat ugutan jenayah dengan mengacukan pisau kepada polis bantuan Sunway Group yang ingin menahannya kerana menceroboh stor itu.
  
Bagaimanapun, katanya, lelaki itu berjaya ditahan dan polis menahan reman ke atasnya mengikut Seksyen 506 kerana ugutan jenayah dan 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan jenayah sehingga 17 Jun depan.
  
"Pemeriksaan ke atas pasport lelaki tersebut juga mendapati tiada rekod kemasukannya ke negara ini dan penahanannya juga bersabit kes Imigresen," katanya.
  
Thaiveegan berkata polis beberapa kali memanggil penterjemah dari wakil kedutaan untuk tujuan siasatan memandangkan suspek tidak boleh berbahasa Inggeris.
  
Beliau berkata polis telah menghubungi keluarga suspek untuk memaklumkan kejadian melalui kedutaan dan mungkin mereka mengambil masa untuk tiba ke negara sini.
  
"Kita sedang menunggu laporan penuh daripada pakar patologi dan bila dah terima, kita akan serahkan fail siasatan atau laporan mati mengejut ini ke Peguam Negara untuk arahan selanjutnya," katanya.

- Bernama

Followers

K KLIK OK