Berita pelaksanaan hukuman sebat terhadap 24 wanita dan 17 lelaki yang
didakwa melakukan sumbang mahram dan mengadakan hubungan seks luar nikah
membawa kerengsaan kepada Gabungan Kumpulan Bertindak bagi Kesamarataan
Gender (JAG).
Pengumuman tersebut menimbulkan beberapa kebimbangan:
(1)
Hukuman sebat melanggar prinsip-prinsip hak asasi manusia, khususnya
hak kebebasan dari segala perlakuan yang kejam, menganiaya, menghukum
dan yang menjatuhkan kehormatan diri seseorang.
JAG menyokong sepenuhnya kesetaraan yang membawa kepada pencapaian hak tersebut. Hukuman sebat seharusnya dimansuhkan.
(2)
Diskriminasi terhadap wanita beragama Islam. Artikel 8(2) Perlembagaan
Persekutuan menjamin kesetaraan dan kebebasan dari diskriminasi atas
dasar agama dan gender.
Maka, sebarang undang-undang yang menghukum wanita atas dasar agama melanggar prinsip antidiskriminasi ini.
Tambahan
pula, Kod Prosedur Jenayah dan Peraturan-Peraturan Penjara jelas
melarang hukuman sebat ke atas wanita, tidak kira umur.
(3)
Jenayah sumbang mahram. Adalah tidak adil bagi mangsa sumbang mahram
dikenakan tuduhan persetubuhan luar nikah atas dasar suka sama suka
bawah Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah, malah ia suatu
penganiayaan terhadap mangsa tersebut.
Ini menunjukkan kegagalan
pihak mahkamah untuk memahami penyalahgunaan kuasa oleh seseorang dalam
keluarga sendiri yang seharusnya menjadi pelindung dan penjaga.
Mangsa tidak patut dihukum atau didakwa bagi jenayah sumbang mahram.
(4)
Bilangan wanita yang disebat dan dihukum lebih tinggi berbanding
lelaki. Ketidakseimbangan ini dapat dilihat di negara-negara Islam yang
lain yang mengguna pakai undang-undang syariah di mana bilangan wanita
yang disabitkan kesalahan jenayah seksual adalah jauh lebih ramai
berbanding dengan lelaki.
(5) Percanggahan undang-undang.
Kedua-dua Kanun Keseksaan (S 376) dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah
Johor (S 20) mengandungi peruntukan yang khusus mengenai sumbang mahram,
tetapi hukuman yang berbeza.
Keadilan akan dicapai dengan lebih
baik jika mereka didakwa di bawah Kanun Keseksaan, di mana pihak yang
bersalah boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak kurang daripada
enam tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun.
Hukuman ini mencerminkan betapa beratnya jenayah yang dilakukan.
Bagaimanapun,
bawah enakmen jenayah syariah negeri, seseorang yang melakukan sumbang
mahram boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama
tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam
sebatan atau dihukum dengan mana-mana tiga hukuman di atas.
Penggunaan
undang-undang mestilah tekal dan selaras untuk menegakkan keadilan bagi
mangsa sumbang mahram, maka undang-undang persekutuan hendaklah
diterima pakai dan semua jenayah sumbang mahram perlu didakwa bawah
Kanun Keseksaan.
(6) Hukuman yang menjatuhkan kehormatan diri seseorang bertentangan dengan ajaran al-Quran.
Jabatan
Agama Johor kini mencadangkan individu yang disabitkan hukuman disebat
di ruang awam seperti masjid atas pemerhatian subjektif bahawa pihak
Jabatan Agama Johor "melihat riak keinsafan pada wajah setiap pesalah
yang dihukum".
Mustahil untuk mengukur tahap kekesalan dan
taubat berdasarkan air muka seseorang. Selain itu, masih tiada bukti
kukuh bahawa jenayah ganas atau seksual dapat dihalang oleh penyaksian
hukuman sebat.
Penguatkuasaan undang-undang moral dan pendakwaan
terpilih bertentangan dalil al-Quran, seperti "tidak mengorek rahsia
orang lain" (Surah al-Hujurat 49:12); "Janganlah kamu masuk ke dalam
mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu
meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; jika dikatakan
kepada kamu 'baliklah', maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang
demikian adalah lebih suci bagi kamu;."(an-Nur 24:27- 28) dan "Apabila
kamu menjalankan hukuman di kalangan manusia, tetapkanlah dengan adil."
(an-Nisa 4:58).
Sebuah hadis Nabi SAW dalam Sunan al-Tarmidhi
juga menyatakan: "Jangan membahayakan umat Islam, dan jangan mencela
mereka, mahupun meneruskan ketidaksempurnaan mereka... "
Apabila
seseorang itu ditegur, adalah penting untuk memastikan bahawa hak-hak
atas keadilan, kesaksamaan, dan kehormatan diri seseorang ditegakkan
pada setiap masa dan tidak dianiaya oleh mereka yang berhasrat untuk
menjatuhkan hukuman yang mengaibkan.
Tamadun manusia zaman
dahulu, di Barat mahupun Timur, sering menjatuhkan hukuman berbentuk
fizikal yang berat, lebih-lebih lagi ketika Zaman Pertengahan.
Tiada
apa pun yang "Islam" tentang hukuman yang berbentuk fizikal malah,
ajaran-ajaran Islam mengehadkan hukuman sebegitu yang diamalkan sebelum
itu.
Ia lebih menekankan sikap kasih sayang serta keinsafan dan taubat bagi mereka yang berdosa.
Sifat Allah SWT yang Maha Pengampun dan Maha Mengasihani merupakan sifat dan tema yang sering diulang di dalam al-Quraan.
Dengan
ini, JAG mengulangi saranannya kepada kerajaan untuk mengkaji semula
dan memansuhkan undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah atas dasar
bahawa peruntukan-peruntukan tersebut tidak berasas dari segi teori dan
amalan undang-undang Islam.
Selain itu, terdapat banyak
peruntukan yang jelas bertentangan dengan Kanun Keseksaan, Kod Prosedur
Jenayah dan Perlembagaan Persekutuan.