KUALA LUMPUR: Pemimpin dan ahli DAP akan mula membuat
persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-14 dengan dua matlamat – membuat
perubahan di peringkat Persekutuan dan juga kerajaan negeri Sabah, kata
Ketua anggota Parlimen DAP Lim Kit Siang.
Katanya, matlamat
Pakatan Rakyat di Sabah untuk memenangi sekurang-kurangnya sepertiga
dari 26 kerusi parlimen di negeri ini tidak tercapai dalam pilihan raya
lalu.
Sasaran ini dibuat bagi membolehkan PR mengumpul 33 kerusi
parlimen dari tiga negeri “deposit tetap” Sabah, Sarawak, dan Johor,
untuk membantu mencukupkan kerusi parlimen yang diperlukan untuk PR
menawan Putrajaya.
Dalam pilihan raya yang lalu, Pakatan Rakyat
hanya berjaya mendapatkan 14 kerusi Parlimen di ketiga-tiga negeri
“deposit tetap” Sabah, Sarawak, dan Johor (Sabah 3, Sarawak 6, Johor 5).
Ia
hanya 16.9% dari keseluruhan 83 kerusi parlimen yang dipertandingkan di
ketiga-tiga negeri dan bukannya 33.3% seperti yang disasarkan.
Walaupun
sasaran Pakatan Rakyat untuk mendapatkan 33 kerusi parlimen di
negeri-negeri “deposit tetap” Sabah, Sarawak, dan Johor tidak tercapai,
satu hakikat yang tidak dapat diabaikan berikutan keputusan PRU 13 itu
ialah bahawa ketiga-tiga negeri Sabah, Sarawak, dan Johor tidak lagi
boleh dianggap sebagai “deposit tetap” bagi Barisan Nasional.
Persaingan
untuk memenangi hati dan minda rakyat Sabah, Sarawak dan Johor kini
terbuka sepenuhnya untuk semua pihak, tambah Kit Siang yang menang di
Gelang Patah, Johor.
Bagi Sabah, katanya, kehadiran pembangkang
semakin jelas dalam Dewan Undangan Negeri Sabah setelah dua dekad tidak
menyaksikan adanya pembangkang yang kuat di sana.
Kini DUN Sabah dianggotai oleh 11 Ahli Dewan Undangan Negeri daripada Pakatan Rakyat (4 DAP, 7 PKR) dan seorang daripada Star.
Bagaimanapun,
katanya, pilihan raya umum pada 5 Mei lalu memberi pengajaran berharga
kepada Pembangkang di Sabah, memandangkan Barisan Nasional dapat
ditewaskan di empat kerusi parlimen dan lapan kerusi dewan undangan
negeri jika tidak berlaku perpecahan undi untuk calon-calon Pembangkang.
Empat
kerusi parlimen itu ialah P. 168 Kota Marudu, P. 180 Keningau, P. 181
Tenom dan P. 182 Pensiangan, manakala lapan kerusi DUN yang berkenaan
ialah N.11 Kiulu, N.29 Kundasang, N. 31 Paginatan, N. 32 Tambunan, N. 34
Liawan, No. 35 Melalap, N.38 Nabawan dan N.45 Elopura.
Malah, jika Pembangkang bersatu ia mungkin boleh memenangi 11 kerusi Parlimen dan 26 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Kerusi
Parlimen iaitu tiga yang telah dimenangi, ditambah dengan empat yang
terlepas daripada genggaman kerana undi pecah, dan empat lagi kerusi,
iaitu P. 177 Beaufort, P. 170 Tuaran, P. 179 Ranau dan P. 169 Kota
Belud.
Kerusi DUN adalah 12 yang ada sekarang, ditambah dengan
lapan yang terlepas kerana undi pecah dan enam lagi, iaitu N.2 Tanjong
Kapor, N.30 Karanaan, N.36 Kemabong, N. 37 Sook, N. 44 Karamunting dan
N.46 Tanjong Papat.
"Bagi PRU13 saya percaya lebih mudah untuk
Pakatan Rakyat merebut Kerajaan Persekutuan di Putrajaya daripada
memenangi Kerajaan Negeri Sabah," katanya.
Bagaimanapun, Pakatan
Rakyat menghadapi cabaran yang amat berbeza untuk PRU14 kerana ia
mempunyai dua objektif serangkai – untuk memenangi Kerajaan Persekutuan
di Putrajaya dan juga merebut Kerajaan Negeri Sabah.
"Atas sebab
ini, saya ingin mengingatkan para pemimpin, ahli, dan penyokong DAP
serta Pakatan Rakyat bahawa kita tidak mempunyai masa untuk berehat
kerana kita harus segera memulakan kerja untuk mencapai matlamat yang
gagal kita capai dalam PRU13, selain untuk memastikan yang kita berjaya
membina asas yang kukuh untuk turut memenangi Kerajaan Negeri Sabah
dalam PRU14," tegas Kit Siang.
Atas sebab ini juga, selain empat
kerusi DUN yang telah DAP miliki, DAP Sabah akan segera memberikan
tumpuan terhadap 13 kawasan untuk membantu Pakatan Rakyat mencapai
kedua-dua matlamatnya dalam PRU14.
Kawasan-kawasan terbabit
adalah Elopura, Karamunting, Tanjong Papat, Tanjong Aru, Karanaan,
Paginatan, Tanjong Kapor, Melalap, Kemabong, Liaiwan, Sook, Tambunan dan
Merotai.
Tambah Kit Siang, untuk membantu kempen DAP dan PR di
Sabah bagi PRU14, Ahli-ahli Parlimen dan ADUN DAP di dalam dan luar
Sabah digalakkan untuk mengambil salah satu dari 13 kawasan berkenaan
sebagai kawasan angkat.
Jawatankuasa Negeri Sabah bersama-sama
dengan Teresa Kok, penyelaras CEC bagi Sabah dan Sarawak, akan merangka
perincian bagi program “kawasan angkat” ini yang akan membolehkan lebih
daripada seorang wakil rakyat DAP untuk dilantik sebagai wakil rakyat
angkat bagi setiap satu dari 13 kawasan terbabit.
"Sebagai
langkah mula, saya akan mengambil peranaan sebagai DUN angkat
memandangkan saya telah melawat Ranau untuk Pesta Kaamatan Kg Sarapong
kelmarin," katanya.
No comments:
Post a Comment