RED Bean Army
kononnya ialah kumpulan tentera siber pembangkang yang bergerak aktif
untuk menghasut rakyat menjatuhkan kerajaan melalui apa cara sekalipun.
Kali
pertama nama itu diperkenalkan adalah oleh sebuah akhbar primitif yang
terkenal dengan rasis Melayu. RBA dikatakan mempunyai kekuatan seramai
200 orang anggota, didakwa memburuk-burukkan BN sejak enam tahun lalu.
DAP
didakwa membiayai RBA dengan peruntukan RM15 juta setahun, bermakna
telah menyediakan dana sebanyak RM108 juta untuk enam tahun. Dakwaan
tersebut membuatkan Penasihat DAP, Lit Kit Siang ketawa besar.
Kaya
sungguh DAP sebagai sebuah parti politik tanpa syarikat perniagaan
seperti MCA, boleh membiayai pihak tertentu dengan jumlah wang yang
sangat besar (bagi sebuah parti pembangkang).
Akhbar primitif itu
bukan setakat mengaitkan RBA dengan DAP tetapi lebih jahat
mengaitkannya dengan jenayah dan keganasan. Satu laporan di akhbar
tersebut mendakwa pasukan siber 'Red Bean Army' turut mengancam untuk
merogol golongan wanita yang menyokong parti BN.
Tulisan di
pojok akhbar tersebut hari ini mendakwa, tindakan pasukan siber tersebut
semasa pilihan raya itu lebih bahaya dari ancaman pengganas bersenjata.
“Serangan
yang mereka lakukan dahsyat. Daripada memfitnah isu pengundi hantu dan
menyerang siapa yang menyokong BN sehinggalah menghina raja-raja Melayu,
agama Islam, orang Melayu dan memboikot produk syarikat Islam.
“Malah ada tentera siber RBA yang mengancam membakar rumah dan pelbagai bentu ugutan serta buli.
“Bukan
sahaja sangat rasis bahkan ekstrem, lebih bahaya daripada ancaman
pengganas bersenjata. Semua itu berlaku dalam pilihan raya Malaysia,”
kata pengarang akhbar rasis Melayu itu dalam tulisan berkenaan.
Seperti
biasa, bagi meyakinkan rakyat Malaysia akan kewujudan RBA maka pihak
polis didesak bertindak. Maka muncullah Timbalan Ketua Polis Negara
Polis Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, Polis Diraja Malaysia
(PDRM) terus memantau aktiviti di laman sosial dan tidak akan
teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu yang
menggunakannya untuk melanggar perundangan negara.
Menurutnya,
polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh setiap aktiviti sama
ada ia berunsur jenayah atau hasutan, dan sekiranya ada bukti yang
kukuh, mereka akan bertindak tanpa memberi amaran. Itu imej polis
Malaysia.
Kes seorang aktivis Umno mengancam di alam siber mahu
membunuh Tok Guru Nik Aziz beberapa tahun lalu belum habis disiasat
(sebab hingga kini belum ada dakwaan) sekarang nak bertindak pula pada
RBA.
Persoalannya, adakah sebenarnya RBA ini wujud dalam bentuk
terancang seperti didakwa? Jawapannya, karut! Jika semua dakwaan yang
dibuat oleh akhbar rasis Melayu itu benar, maka pihak yang paling awal
dapat mengesan dan akan bertindak ialah PDRM.
Mengesan
penjenayah di alam siber lebih mudah dari mengesan ahli kongsi gelap
kerana semua alamat di talian dapat dikesan dengan mudah. Kerajaan ada
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memantau dan
mengesan. Apabila PDRM tidak mengheret ke muka pengadilan, lebih-lebih
lagi yang melibatkan pihak pembangkang, bermakna tiada kes untuk
disabitkan.
Pihak rasis Melayu mendakwa bukti kewujudan RBA dalam
bentuk kumpulan terancang ialah apabila 'ahli-ahli' kumpulan tersebut
meletakkan simbol kacang merah sebagai foto profil. Jika itu buktinya,
maka banyak benar kumpulan terancang di alam siber yang wujud.
Foto
icon seperti Bersih, Adam Adli, Ini Kalilah, Hijau Lynas, Blackout 505
bertukar ganti menjadi foto profil pemegang akuan laman sosial. Mereka
tidak pernah mendaftar sebagai ahli kumpulan tersebut, tetapi ia
merupakan trend semasa penghuni alam siber mempamerkan sokongan terhadap
mana-mana tuntutan.
Pengwujudan isu RBA oleh akhbar rasis Melayu
ini mengingatkan kita kepada pepatah Arab yang selalu diungkapkan oleh
AlMarhum Ustaz Fadzil Noor, "Dia memukul aku, dia pula yang menangis."
Di alam siber serta di media cetak dan televisyen, pihak yang teruk
dibelasah dan difitnah saban waktu ialah pembangkang atau Pakatan
Rakyat. Tiba-tiba BN pula yang mengadu diserang menggunakan tentera
siber.
Saya pernah didatangi oleh seorang aktivis maya BN,
mengaku sudah insaf dan mendedahkan semua gerak kerja mereka sebagai
pahlawan siber. Mereka memang dilatih, dibekalkan peralatan uktuk akses
alam siber dan diberikan elaun tetap bulanan. Mereka bekerja sepenuh
masa untuk BN. Fitnah, adu domba dan provokasi merupakan makanan harian
kumpulan tersebut. Sehingga kini semua laman maya tersebut masih terus
aktif dan bekerja sepenuh masa untuk BN. Di samping fitnah dan
penghinaan melampau terhadap pemimpin Pakatan sebagai sajian utama dalam
laman maya mereka, bahan-bahan rasis dan provokasi keagamaan juga
disebar tanpa rasa bersalah.
Terdapat lagi pahlawan maya BN yang
bukan petugas sepenuh masa tetapi berperanan sepanjang masa untuk
menyerang Pakatan dan menaikkan BN. Bukan rahsia lagi bahawa Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib pernah dua kali bertemu dan menyampaikan
amanat kepada kumpulan yang terdiri dari anak-anak muda ini. Mereka
hanya dibekalkan dengan komputer i-Pad tanpa elaun bulanan. Dikatakan
terdapat 10 ribu ahli kumpulan ini di seluruh negara, sebahagian
besarnya berperanan dalam PRU13 lalu.
Jadi, apabila pihak Umno
menonjolkan isu kewujudan RBA sebagai ancaman dalam negara, maka tidak
lebih dari pepatah, "Pencuri jeritkan pencuri."
Apabila terdapat
gerakan besar-besaran oleh media pro BN untuk menonjolkan RBA,
mengaitkannya dengan DAP serta menggesa pihak polis bertindak maka ia
mengingatkan kita kepada strategi yang digunakan oleh Amerika Syarikat
untuk memusnahkan Iraq.
Alasan yang digunakan oleh tiga Presiden
Amerika Syarikat untuk memusnahkan Iraq iaitu George Bush, Bill Clinton
dan George W. Bush ialah terhadap senjata pemusnah berskala besar yang
merbahaya di Iraq. Dengan menggunakan alasan tersebut mereka mendapat
mandat dari kuasa-kuasa besar untuk menyerang Iraq.
Sehingga
Saddam Husein berjaya ditangkap, Iraq hancur berkecai namun senjata
pemusnah tidak juga dijumpai. Maka kewujudan isu RBA oleh kumpulan rasis
Melayu itu tidak lebih dari idea yang diciplak dari White House.
Amerika menggunakan modal senjata pemusnah untuk hancurkan Iraq,
manakala kumpulan rasis Melayu menggunakan RBA untuk cuba memusnahkan
DAP.
*Penulis adalah bekas Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah.
No comments:
Post a Comment